Assalamualaikum w.b.t diucapkan kepada semua pembaca dan rakan bloggers. Agak lama CHE Dayat tidak muncul di arena blog. Cuma mutakhir ini saya aktif di dalam facebook. Maklumlah senang sikit untuk mengemaskini maklumat mahupun status melalui telefon bimbit sahaja.
Mutakhir ini memang banyak isu di sana sini, dengan GSTnya, 1MDBnya, Tun M vs DS Najib, PAS Muktamar dan PASMA, dan macam-macam lagi yang saya tak sempat nak senaraikan satu persatu. Pada entri kali ini CHE Dayat hendak mengupas isu Sukan SEA, isu Gimnas kita yang dikatakan menampakkan sesuatu yang tak patut didedah oleh seorang muslimat.
Bercakap mengenai aurat, CHE Dayat memetik dari Surah An-Nur ayat 31. Maksudnya :-
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)
Dari ayat diatas jelaslah bahawa Islam amat menitik beratkan akan aurat ini, Apa yang menyedihkan CHE Dayat adalah di media sosial, masyarakat lebih mengutamakan pingat emas yang dimenangi berbanding dengan UGAMA dan HUKUM TUHAN. CHE Dayat juga TIDAK BERSETUJU dengan tindakan segelintir pengguna media sosial yang memperlekeh dan mencemuh akan atlet tersebut. Pepatah Inggeris ada mengatakan "Two Wrong Doesn't Make One Right". Bagi yang mencemuh juga tidak betul. CHE Dayat sentiasa percaya dakwah itu akan lebih berkesan jika kita sampaikan secara berhikmah.
CHE Dayat juga tidak menyalahkan atlet tersebut. Kurangnya tarbiyyah dan penekanan nilai-nilai Islam didalam Sistem kita mendorong akan atlet ini dan juga pengurusan tidak mengambil berat akan perkara-perkara ini. Malaysia adalah sebuah Negara Islam dan atlet itu juga beragama Islam, bagi CHE Dayat tidak wajar perkara seperti ini berlaku.
CHE Dayat juga ingin berpesan kepada pengguna media sosial janganlah menghina Ugama sendiri, Saya lihat ada di antara rakan-rakan saya yang membela akan atlet tersebut, ya, jasa atlet tersebut memang wajar diiktiraf, namun kesalahan juga perlu diperbetulkan. CHE Dayat lihat status di facebook teman-teman sendiri umpama sudah lupa akan Hukum Hakam dalam Berpakaian didalam Islam. Ya kita bukannya manusia sempurna namun janganlah kita HINA Ugama kita sendiri.
Sesungguhnya Islam itu tidak sempit, Kitalah yang sebenarnya menyempitkan pemahaman kita dengan Agama kita. Bukannya tidak boleh untuk nak bergimnas, bersukan, berenang dan sebagainya. Namun Islam telah meletakkan panduan dan tatacara dalam acara-acara ini. Berikut CHE Dayat lampirkan pakaian muslimah untuk para atlet. Dan acara gimnas ini wajar lah dilakukan dihadapan wanita sahaja, tiada masalah.
Kepada semua pembaca blog ini, izinkan saya berpesan, usahlah kita menjadi yahudi dan nasara demi menunjukkan kita dah maju, kita dah terkehadapan. Banggalah dengan agama kita yang penuh tertib dan sempurna. Islam itu Indah.
Sekian
Wallahualam, berjumpa lagi kita di entri seterusnya.