Wednesday, July 22, 2009

Kisah Manusia Yang Lupa Diri





Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca dan rakan bloggers sekalian. Pada kali ini saya ingin mengulas tentang kisah manusia yang lupa diri. Di Malaysia ini, kita dapat lihat berapa ramai manusia yang lupa diri dan tidak mengenali erti syukur. Golongan ini juga telah menjadi ikon di Malaysia.
Rakyat/ Orang Ramai sudah terpedaya dengan golongan ini. Saya ibaratkan golongan ini sebagai Syaitan yang bertopengkan manusia yang sanggup berbuat apa saja demi kepentingan diri sendiri. Di sini saya ingin jadikan 3 orang sebagai ikon golongan manusia yang lupa diri. Mereka adalah:
1) Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim adalah seorang pejuang pelajar, dan juga pejuang kuat bangsa melayu ketika didalam UMNO. Saya sendiri pun menyokong perjuangan beliau didalam UMNO kerana beliau merupakan seorang yang terpelajar dan juga dilihat sebagai pengganti yang ampuh Tun Dr Mahathir kerana mempunyai visi dan misi untuk melihat bangsanya berjaya. Sepanjang didalam UMNO, Anwar Ibrahim telah diberi layanan "karpet merah" oleh Tun dan beliau saya kira telah dapat memegang jawatan Ketua Pemuda dan juga melonjak hingga ke Timbalan Presiden dalam masa yang singkat. Ramai juga golongan veteran didalam UMNO yang sakit hati dengan kepantasan Anwar Ibrahim melonjak naik. Tetapi lama-kelamaan, Anwar sendiri mengepalai apa yang ditentangnya iaitu mengamalkan kronisme, rasuah dan menjadi kaya dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri. Dan setelah dipecat dari kesemua jawatan didalam UMNO dan Kerajaan, beliau melenting. Kerana terlalu kepingin mahu menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melancarkan gerakan reformasi yang memusnahkan maruah negara. Sanggup bersekongkol dengan barat dan mengutuk negara sendiri hanya kerana dia tidak dapat apa yang dikecapinya. Kemudian menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan supaya Anwar dibebaskan dan setelah dibebaskan, parti ini tampak seperti tidak ada matlamat perjuangan dan kini PKR meneruskan agenda busuk Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar, kini seorang pemimpin liberal. Dia terpaksa berubah watak kerana kemarukkan undi dari kaum lain walhal semasa beliau didalam UMNO, beliaulah yang memperjuangkan habis-habisan hak keistimewaan melayu dan kini mahu berdolak-dalih. Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim adalah manusia yang tidak tahu erti syukur dan lupa diri. Tidak puas hati lagikah sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri? sepatutnya beliau terimalah Qada' dan QadarNya.

2) Zaid Ibrahim
Saya tidak "familiar" dengan kisah beliau didalam UMNO, cuma yang saya tahu beliau mendapat apa yang dikecapinya sekarang adalah bersama UMNO. Pak Lah memberi kepercayaan kepadanya sebagai Menteri. Jika dilihat sumbangannya kepada UMNO, saya tidak nampak satu sumbangan pun melainkan membaling najis ke UMNO setelah mendapat bunga yang harum dari parti itu. Inilah juga tergolong dikalangan orang yang lupa diri dan tidak bersyukur.

3) Chua Jui Ming
Ini memang seorang yang mudah lupa diri. Memegang jawatan didalam MCA lebih dari 2 dekad dan menjadi Menteri Kesihatan juga masih belum mencukupi bagi beliau yang menyertai PKR pada minggu lepas.

Pada hemat saya, saya kira 3 manusia ini masih tidak berpuas hati dengan apa yang mereka kecapi semasa didalam Barisan Nasional dulu. Sudah-sudahlah membohongi rakyat yang kononnya anda ini seorang pejuang sejati, tidak mengamalkan rasuah dan kronisme. Walhal anda sendiri mempunyai aset berjuta-juta dan mengamalkan Kronisme semasa anda menjadi pentadbir. PKR kini pun di negeri Selangor gagal untuk melaksanakan apa yang dijanjikan sewaktu Pilihan Raya yang lalu.
Kepada rakyat, saya minta anda berfikiran rasional. Janganlah tertipu dengan 3 golongan ini...

Salam Perjuangan.
CHE Dayat.

Monday, July 20, 2009

Al Fatihah The Ancient Mariner... Capt Yusof Dalam Kenangan


Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan buat para pembaca dan rakan bloggers sekalian. Saya ingin mengucapkan takziah buat keluarga pengendali blog "The Ancient Mariner" Kapten Yusof yang telah pulang menghadap Yang Maha Esa pada Ahad yang lalu.

Bagi saya, sebagai seorang blogger, saya kehilangan seorang rakan blogger yang banyak memberikan inspirasi kepada saya melalui tulisan beliau. Saya kerap kali singgah bertemu di laman blog beliau tetapi tidak pernah berinteraksi secara terus.
Pun begitu, inilah yang dikatan dunia tanpa batasan dimana walaupun tidak pernah bersua muka, melalui tulisan blog sahaja sudah cukup memadai bagi saya untuk mengenali sedikit sebanyak keperibadian seorang insan bernama Kapten Yusof ini.
Akhir kalam, saya ingin mengucapkan sekali lagi ucapan takziah buat keluarga arwah dan marilah kita berdoa semoga rohnya berada dikalangan dengan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah...

Wednesday, July 15, 2009

PRK Manek Urai.. Satu Mesej buat UMNO dan PAS..


Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca dan rakan bloggers sekalian. Pada kali ini saya akan mengulas berkenaan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Manek Urai yang berlangsung baru-baru ini. Tahniah buat kedua-dua parti yang bertanding.


Kalah dan menang adat pertandingan. Kepada yang menang, harap anda akan dapat menjalankan amanah yang telah diberikan kepada anda dengan jayanya. Berbaktilah dengan adil dan saksama sebaiknya. Kepada yang kalah, ini bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan tetapi permulaan satu lembaran yang baru.

Mengapa saya berkata begini?


1) Kita lihat pada statistik bahawa UMNO telah tewas hanya pada 65 undi sahaja. berbanding PRU yang lepas dimana kita telah tewas dengan beza undi lebih 1000 undi. Ini membawakan mesej yang jelas buat UMNO bahawa rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak. Cumanya, mereka belum nampak lagi hasilnya kerana memang baru benar Datuk Najib menjadi PM. Pun begitu, UMNO perlulah terus menerus menggembleng seluruh tenaga untuk menampakkan hasil yang langsung kepada rakyat. Tetapi pada saya, ini satu permulaan yang baik kepada kepimpinan Datuk Najib.


2) Buat PAS, ini pelajaran yang pertama... Rakyat kini bertambah matang. Jangan asyik menggunakan cara kempen anda yang hanya asyik mencari kesalahan orang lain. Bila diri sendiri memerintah, kesilapan yang sama juga anda lakukan. Jangan hanya pandai berkata-kata tetapi perlaksanaan tidak ada.


3) Buat Dato Mustapa Mohamed, saya ucapkan tahniah buat beliau. Pada pengamatan saya, beliau merupakan seorang pemimpin yang bersih dan ikhlas didalam perjuangan. Saya berkesempatan bertemu dengan beliau di dua lokasi dan diwaktu beliau memegang dua portfolio yang berbeza. Iaitu di UiTM Kampus Bandaraya Melaka sewaktu beliau menjadi Menteri Pengajian Tinggi dan di Kementerian Pertanian sewaktu beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Saya lihat apa saja portfolio yang dipegang oleh beliau berjaya membukti beliau telus dan tekun didalam kerjanya. Justeru kita dapat lihat hasil yang begitu ketara di Manek Urai.


4) Buat UMNO, seperti yang saya selalu sebut, kita haruslah mula berkempen secara berhemah dan menyentuh aspek rohaniah. Sama seperti yang kita lakukan di Manek Urai. Kita sudah berada di landasan yang betul, cuma kita perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi memenangi hati rakyat.


"Sesungguhnya perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah akan membina mercu tanda bangsanya yang berjaya".


Salam Perjuangan.

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI: Keputusan Telah Dibuat.. Apa Pula Selepas Ini?


Keratan Utusan Malaysia 9 Julai 2009-



PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.
Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.



--------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan Saya:



1) Sesungguhnya saya amat kecewa dengan tindakan kerajaan yang akan memansuhkan PPSMI pada 2012. Ini kerana PPSMI dilihat mampu untuk memacu penjanaan minda yang baik kepada pelajar. Tambahan pula subjek Sains dan Matematik kebanyakkan atau kesemua terma dan istilah didalam subjek tersebut adalah didalam bahasa inggeris.


2) Setelah 6 tahun dilaksanakan, sememangnya ada penurunan didalam peratusan pencapaian pelajar. Akan tetapi, ada juga pelajar yang berjaya dengan jayanya. Dan kepada yang gagal, haruslah gigih berusaha untuk mengecapi kejayaan seperti mana orang yang berjaya.


3) Kita semua maklum akan perlunya kita untuk menguasai Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa itu sendiri tetapi keseluruhan bidang didalam bahasa inggeris. Kerana Bahasa Inggeris itu bahasa yang global dan untuk kita menguasainya, hendaklah kita bermula dari akarnya.


4) Sikap kerajaan yang membuat keputusan seperti menukar gear kereta amatlah bahaya kerana ianya mempunyai impak yang besar kepada orang-orang yang terlibat secara langsung didalam perlaksanaannya iaitu guru-guru dan juga murid-murid.


5) Akan tetapi, sudah terlambat untuk berkata kerana keputusan sudah pun di buat, apa yang saya harapkan di hari muka, janganlah membuat keputusan tanpa mendengar suara majoriti rakyat. Jangan kerana tekanan pihak tertentu, kita tunduk kepada tekanan.


6) Akhir sekali, keputusan telah pun dibuat, walaupun berasa kecewa saya amatlah berharap kerajaan teliti dengan keputusan ini dan janganlah keputusan ini diubah lagi. Dan amatlah saya berharap agar pihak kerajaan, sebelum melaksanakan sesuatu dasar agar menglaji dahulu sebelum memutuskannya...


Semoga kita bersama-sama dapat mencipta kegemilangan...


Salam Perjuangan,


Sekian.