Wednesday, July 8, 2009

PPSMI: Keputusan Telah Dibuat.. Apa Pula Selepas Ini?


Keratan Utusan Malaysia 9 Julai 2009-



PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.
Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.



--------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan Saya:



1) Sesungguhnya saya amat kecewa dengan tindakan kerajaan yang akan memansuhkan PPSMI pada 2012. Ini kerana PPSMI dilihat mampu untuk memacu penjanaan minda yang baik kepada pelajar. Tambahan pula subjek Sains dan Matematik kebanyakkan atau kesemua terma dan istilah didalam subjek tersebut adalah didalam bahasa inggeris.


2) Setelah 6 tahun dilaksanakan, sememangnya ada penurunan didalam peratusan pencapaian pelajar. Akan tetapi, ada juga pelajar yang berjaya dengan jayanya. Dan kepada yang gagal, haruslah gigih berusaha untuk mengecapi kejayaan seperti mana orang yang berjaya.


3) Kita semua maklum akan perlunya kita untuk menguasai Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa itu sendiri tetapi keseluruhan bidang didalam bahasa inggeris. Kerana Bahasa Inggeris itu bahasa yang global dan untuk kita menguasainya, hendaklah kita bermula dari akarnya.


4) Sikap kerajaan yang membuat keputusan seperti menukar gear kereta amatlah bahaya kerana ianya mempunyai impak yang besar kepada orang-orang yang terlibat secara langsung didalam perlaksanaannya iaitu guru-guru dan juga murid-murid.


5) Akan tetapi, sudah terlambat untuk berkata kerana keputusan sudah pun di buat, apa yang saya harapkan di hari muka, janganlah membuat keputusan tanpa mendengar suara majoriti rakyat. Jangan kerana tekanan pihak tertentu, kita tunduk kepada tekanan.


6) Akhir sekali, keputusan telah pun dibuat, walaupun berasa kecewa saya amatlah berharap kerajaan teliti dengan keputusan ini dan janganlah keputusan ini diubah lagi. Dan amatlah saya berharap agar pihak kerajaan, sebelum melaksanakan sesuatu dasar agar menglaji dahulu sebelum memutuskannya...


Semoga kita bersama-sama dapat mencipta kegemilangan...


Salam Perjuangan,


Sekian.

No comments: